Bhg 1

“Jadi, saya jumpa Ustaz minggu hadapan?”

“Insyaallah Aisyah. Assalamualaikum,”jawab Ustaz Rahman.

Aku meminta diri dan menuju ke pintu keluar. Semasa berjalan, aku pusing ke kiri lalu terlihat bilik itu. Bilik dimana segalanya bermula. Bilik yang mengukuhkan lagi imanku terhadap Allah s.w.t. Di bilik itulah yang merupakan pertama kali aku mengucapkan dua kalimah syahadah. Saat itu, adalah saat yang menenangkan hatiku. Akhirnya, ketenangan sudah dapat aku kecapi menerusi agama Islam.

Nama islamku Siti Aisyah Binte Abdullah. Aku mengambil nama itu sempena nama isteri Rasullah s.a.w. Sebelum ini namaku sejak lahir lagi adalah Diane Stephanie Walter. Sahabat dan sanak saudara semua sudah maklum bahawa ibuku, yang aku panggil Mama, berkahwin dengan bapaku yang beragama Kristian, James Michael Walter. Mama cerita, nenek hampir pengsan selepas Mama beritahu hajat Mama. Tetapi Mama kata, cinta mengatasi segalanya.

Aku membesar dengan menyambut Hari Natal dan Hari Raya setiap tahun. Ketika kecil, aku selalu menanya Mama,"Mengapa kita sambut Hari Raya tetapi Daddy tidak?"
Mama akan menjawab,"Orang melayu yang sambut. Your Daddy is Caucasian so there's no need for Raya for him!"

Mama tersenyum.Aku tahu, itu bukan jawapan yang betul sebab itu aku akan menanyakan soalan yang sama setiap tahun dengan harapan jawapan yang tepat akan keluar juga dari mulut Mama.

Sambutan Hari Natal di rumah teres kami selalu berhari-hari lamanya. Hari Raya pula, selepas kami ziarah rumah nenek, bagi Mama, Hari Raya sudah habis. Setiap kali ziarah, setiap kali juga jelingan tajam yang aku dapat dari sanak saudara. Semasa kecil, tentu sekali aku tidak memahami mengapa aku mendapat jelingan-jelingan tajam.

Nenek selalu jerit dengan nada gurau,"Siapa nak duit raya, beratur sini!".

Setiap kali aku beratur, nenek akan jerit lagi,"Siapa yang namanya ada 'bin' dan 'binte' sahaja boleh beratur untuk duit raya!".

Airmata akan pasti bergenang. Namaku tiada perkataan 'binte' di mana-mana bahagian.

Ketika berumur 13 tahun, seperti biasa, aku dan Mama menziarahi nenek. Sedang Mama sibuk berbahas dan bertelaga dengan nenek seperti tahun-tahun sebelumnya,kakak ibu, Maklong Yani menghampiriku.

"Kenapa mak kau suka sakitkan hati mak aku setiap tahun?Tak puas-puas lagi sejak 14 tahun yang lalu dia sakitkan hati mak aku?"kata Maklong Yani.

Aku terdiam."Bukan mak kau dan kau sudah tidak ada agama lagi?"sambung Maklong Yani.

Aku tidak tahu mengapa aku tidak menjawab. Mungkin kerana apa yang dikatakan Maklong Yani itu benar. Mama tidak pernah memberitahuku apa sebenarnya agamaku.Yang aku tahu, apabila aku memberitahu Mama apa yang terjadi, Mama berjanji tidak akan menyusahkan aku dan tidak akan menziarahi nenek ketika Hari Raya lagi.Maka itulah kali terakhir aku melihat nenek.

"Aisyah?"suara itu seperti aku kenal.Aku menoleh dan melihat Ustaz Rahman.

"Aisyah masih di sini lagi?Termenung jauh nampaknya,"sambung Ustaz dengan nada gurau.

Aku tidak sedar aku mengelamun hingga hampir waktu asar. "Eh, tidaklah Ustaz. Aisyah tunggu waktu solat asar. Aisyah hendak solat dulu sebelum pulang rumah."

Ustaz Rahman hanya mengangguk dan terus beredar.Aku tersenyum sendiri. Ada juga aku masa untuk mengenang kisah lama.

2 comments:

Nisa said...

Apabila aku memberitahuku apa yg terjadi? Should be apabila aku memberitahu mama kan, jan?

Jannah Binte Johari said...

Woah!
You are right.
Okay,thanks for noticing.