Bhg 13


Buat seketika mata kami berdua terbeliak. Aku beliakkan mata kerana mengharap, jelas sekali Ustaz Rahman membeliakkan mata kerana terperanjat. Aku seperti merenung Ustaz Rahman dan Ustaz Rahman sebaliknya. Tiba-tiba, Ustaz Rahman ketawa hingga menampakkan giginya. Jarang sekali aku nampak Ustaz Rahman ketawa sebegitu. Aku pun, untuk mengelakkan sebarang rasa janggal, turut ketawa bersama. Hanya selepas kami sedar keadaan kami sedang diperhatikan beberapa orang, barulah kami kembali senyap.

"Aisyah sudah kenapa? Dari mana Aisyah dapat idea ini?"

Tekaan aku tepat. Inilah reaksi yang aku jangkakan apabila memberitahu Ustaz Rahman tentang niatku.

"Ustaz, tolong saya. Buat sehari dua sahaja. Lepas ini, pasti Mama akan cepat mencari rumah sewa. Tolong saya, Ustaz!" aku berkata dengan nada memohon.

"Ustaz, saya tidak tahu bagaimana mahu jelaskan pada ibubapa saya. Bagi saya, Ustaz adalah orang yang paling sesuai untuk jelaskan pada mereka."

"Tetapi Aisyah, bukankah Aisyah yang tuan punya badan? Itukan ibubapa Aisyah? Mengapa tidak Aisyah sahaja yang jelaskan?" tanya Ustaz Rahman bertalu-talu.

"Saya tahu Ustaz. Memang,sepatutnya saya yang mesti beranikan diri untuk memberi penjelasan pada Mama. Saya tidak patut rasa takut. Tidak patut rasa malu. Patutnya saya bangga saya seorang muslim sekarang. Cuma…."

Tidak sempat memberi alasanku, Ustaz Rahman menyampuk,"Cuma apa Aisyah?"

"Cuma saya benar-benar mengharap, Ustaz setuju." jawabku, kali ini dengan nada kecewa.

"Assalamualaikum, Ustaz. Saya minta diri dahulu."

Selepas itu,aku terus beredar. Sedikit kecewa akan kehendak yang tidak tercapai. Aku mengurus langkah dengan perlahan menuju ke pintu keluar.

Sampai sahaja di pintu apartmen aku, aku menghela nafas panjang. Sekarang ini,bagaimana harus aku menjelaskan pada  Mama dan Daddy? Aku runsing memikirkannya.

Mungkin Mama dan Daddy akan kecewa. Mungkin juga mereka akan memahami dan menyokong keputusan aku. Lagipun, Mama memang supporting.Daddy pula memang open-minded.  Semakin lama aku memikirkannya, semakin aku lebih yakin dan berani untuk menghadapi Mama dan Daddy.

Hari esoknya berlalu seperti biasa. Aku mempersiapkan rumah untuk menerima kehadiran Mama dan Daddy. Walau ada rasa gementar kerana perlu menjelaskan perkara besar, aku tentu sekali rindu kan mereka juga. Sudah bertahun tidak bersua.

Selepas kerja, aku tidak singgah ke Darul Arqam. Risau jika bertembung dengan Ustaz Rahman. Aku malu. Jadi, aku terus pulang ke rumah dan bersolat Asar di rumah sahaja.

Akhirnya, hari Mama dan Daddy pulang ke Singapura tiba. Aku kerja dengan rasa gelisah. Aku telah menyuruh Fatin, setiausahaku untuk  membatalkan segala temujanjiku dengan mana-mana pihak. Fatin amat memahami keadaanku. Fail-fail yang perlu disemak dan ditandatangani semuanya dia tundakan dahulu. Aku hadir pun di pejabat sekadar menunjukkan muka. Tidak boleh fokus langsung. Genap pukul lima petang aku terus terkekok-kekok bangun dan tinggalkan pejabat. Tentu sekali aku tidak ke Darul Arqam lagi.

Sampai sahaja di rumah, kelam-kabut aku masak buat hidangan makan malam nanti.

Saat aku selesai meletakkan jag berisi air jagung, ada ketukan di pintu. Jantungku berdegup kencang. Mama dan Daddy sudah datang. Aku perbetulkan tudung dan jubahku sebelum membuka pintu. Aku tahu, tidak perlu untuk memakai tudung lebih-lebih lagi depan ibubapa yang sememangnya muhrimku. Namun, aku mahu mereka terbiasa dengan imej baruku ini.

Perlahan-lahan aku memusingkan tombol pintu. Boleh kedengaran suara Mama dan Daddy sedang ketawa. Sebaik sahaja aku membuka pintu, wajah aku dan Mama bertembung. Serta-merta hilai tawa yang tadi kuat kedengaran, pudar.

Mata kami masih merenung antara satu sama lain. Aku dengar bunyi kaca berkecai di lantai. Baru aku sedar botol wain yang Daddy pegang itu terlepas dari genggamannya. Kami bertiga masih berdiri kaku. Daddy seperti hendak mengatakan sesuatu tetapi tiada kata-kata yang lepas dari mulutnya.

Yang aku tahu, beberapa saat selepas itu, Mama rebah ke lantai.

No comments: