No.1


Riiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiing!

"Memekak pulak alarm clock aku ni!" teriak Irdina. Terpisat-pisat dia kerana baru sedar dari tidur. Tangannya terhuyung-hayang bagai mahu mencapai sesuatu.

"Alarm clock awak kata! Itu loceng sekolah yang menandakan kelas sudah tamat. Sudah puas tidur Nuralyah Irdina Binte Muhammad Faiz?" pekik Cikgu Nafisah.

Serta-merta Irdina tegakkan badan dan membeliakkan mata. Cuba menutupi 'jenayah kecil'nya.

"Mana saya ada tidur Cikgu! Tadi cuma bergurau dengan kelas saja!"

Cikgu Nafisah, yang bagaikan sudah masak dengan perangai Irdina sekadar memberikan pandangan sinis. Dua tahun menjadi guru kepada Irdina sudah membuatkan dia kenal benar dengan perangai muridnya yang satu ini.

"Baiklah kelas, hantar tugasan kamu esok," pesan Cikgu Nafisah sebelum dia keluar dari kelas Menengah 5C.

Sebaik sahaja Cikgu Nafisah melangkah keluar dari kelas, Irdina memekik, "Siapa dia nak marah-marah aku tengahari buta! Alamak, buat darah up ah!"

Rakan-rakan sekelas Irdina cuma ketawa. Memang perangai Irdina begitu. Setiap saat mesti ada caranya untuk menangkap perhatian. Kalau tidak pekik tiba-tiba atau lari keluar kelas tiba-tiba, pasti ada sahaja cara untuk menarik perhatian rakan-rakan sekelasnya. Ada sekali, ketika Mr Tan sedang mengajar, dengan tidak semena-mena kedengaran suara orang sedang menguap sekuat-kuat hati dan tanpa sebarang kejutan, semua sudah mengagak itu adalah Irdina.

"Sudahlah tu, Irdina. Itu kan Cikgu kita," tegur Marissa Hayfa, kawan karibnya sejak dari Darjah 1 lagi. Dua sahabat karib yang mempunyai perangai sungguh berbeza. Irdina yang seperti tomboy , bersikap terbuka dan perilakunya yang selalu mencuit hati orang. Hayfa pula lemah-lembut dan lebih suka bersendiri kecuali dengan Irdina sahaja. Mungkin, tanpa Irdina, Hayfa akan lebih bersikap menyendiri.

Irdina seperti memekakkan telinganya. Biarlah sampai berbuih mulut Hayfa pun, jangan harap dia mahu menyerah kepada Cikgu Nafisah. Cikgu Nafisah pun lagi satu hal, selalu mencari gaduh. Itulah apa yang dia fikir. Setiap kali kelas Cikgu Nafisah, mesti ada sahaja kata-kata yang menyakitkan hati Irdina yang dilempar Cikgu.Di mata Irdina, Cikgu Nafisah seorang guru yang jahat.

Hayfa sekadar menggelengkan kepala. Kalau Cikgu Nafisah yang mengajar Irdina dua tahun sudah masak dengan perangainya, inikan pula Hayfa. Sebelas tahun mengenali Irdina. Namun, jauh di lubuk hati, Hayfa tahu, walaupun Irdina sebegitu, namun hatinya baik dan luhur. Pernah sekali bapa Hafya dibuang kerja dan minggu berikutnya, datang satu van penghantaran berisi barang dapur. Hayfa tahu, ini mesti kerja Irdina. Ya lah, Irdina datang dari keluarga berada. Ibunya orang Singapura namun bapanya mempunyai kerakyatan Malaysia dan berpangkat 'Tan Sri' lagi.

 Tetapi, apabila Hayfa menanya Irdina, dia sekadar menjawab," Mana ada! Agaknya lori pasar mana tersesat dekat rumah kau!"

"Eh, Irdina, aku kenal kau lah. Kau ni, dalam banyak-banyak benda,  paling tidak pandai sekali berbohong."

Selepas itu Irdina ketawa dan lari dari Hayfa. Itulah Nuralyah Irdina, nakal tetapi baik.

"Aku tak kisah. Esok, tiba hari membalas dendam!" jerit Irdina sambil menumbuk meja diikuti dengan sorakan dari kelas. Selepas itu dia mengajak Hayfa untuk ke kantin. Hayfa kelam-kabut mengemas mejanya dan mengikuti Irdina dari belakang.

Selepas mereka berdua membeli makan, Irdina meluru ke satu meja kosong diikuti dengan Hayfa ang berjalan dengan perlahan.

"Hayfa, kau rasa…."

Belum sempat Irdina menghabiskan kata-katanya, Hayfa mencelah," Irdina, habiskanlah makanan dalam mulut tu dulu, baru boleh berbual."

Irdina mendengus. Dia habis mengunyah makanan selepas itu berkata," Hayfa, kau rasa, apa cara yang patut aku ajar Cikgu Nafisah?"

Hayfa tersenyum. Geli hati dengan kesungguhan Irdina mahu membalas dendam.

"Irdina, cara yang betul adalah guru mengajar murid. Kau sebagai murid, tak perlu ajar Cigu Nafisah apa-apa. Hormatlah dia. Dia 4 tahun lebih tua dari kita tau!"

"4 tahun saja nak hormat apa? Kau nak aku tabik dia?" jawab Irdina sebelum memimikkan seorang yang sedang menabik.

Hayfa ketawa dan menggeleng. Sukar benar mahu menasihati satu-satunya kawan karibnya. Degil dan berkepala batu! Kalau katanya mesti katanya sahaja. Sukar untuk menasihatinya. Hayfa benar-benar takutkan keselamatan Cikgu Nafisah esok. Pernah sekali, Irdina 'mengajar' seorang guru sehinggakan guru itu melepas di dalam seluarnya. Irdina tahu, guru lelaki itu paling takut dan trauma akan kegelapan kerana insiden masa lalu. Lantas, Irdina mengekori guru itu ke tandas. Apabila guru itu memasuki tandas, Irdina mematikan suis lampu dan menyekat pintu itu dengan door stopper. Seminit kemudian, kedengaran seorang lelaki memekik meminta tolong. Apabila guru itu akhirnya diselamatkan, ramai murid menyedari seluarnya basah dan serta-merta guru itu menjadi bahan ejekan. Hanya Hayfa seorang sahaja yang tahu itu semua perbuatan Irdina.

"Irdina, tolonglah. Kesianlah Cikgu Nafisah. Dia baik. Dia cuma mengharap awak tak tidur dalam kelas lagi saja," kata Hayfa sambil menyusun sepuluh jari.

"Marissa Hayfa Binte Hamzah Ruzi,kau tukang tunggu saja apa yang aku akan buat. Just wait and see!"

No comments: