Bhg 3

Esok hari, pagi-pagi lagi aku sudah siap untuk ke Darul Arqam. Memang sudah terbiasa, kalau hendak ke Darul Arqam, pasti berjubah dan bertudung labuh. Setelah bersarapan, aku keluar rumah selepas membaca doa yang diajar Ustaz Rahman.

Sampai sahaja di Darul Arqam, aku pantas melihat waktu di jam tanganku. Masih awal lagi rupanya. Aku duduk di bangku yang berdekatan dengan bilik bertentangan bilik Cik Zawiyah. Terlalu awal mungkin. Aku melihat suasana sekitaran Darul Arqam dan tiba-tiba melihat Ustaz Rahman. Tanpa berlengah, aku bangkit dan menuju kepadanya.

"Assalamualaikum Ustaz,"aku bersapa sambil mengangguk. Ustaz menoleh dan kelihatan terperanjat melihat kehadiran aku.

"Waalaikumusalam, Aisyah. Eh, apa Aisyah buat di sini? Bukankah sesi berikutnya adalah minggu hadapan?" tanya Ustaz Rahman.

Aku menjelaskan kepada Ustaz tentang tujuanku ke sini. Ustaz mengangguk. Selepas itu, Ustaz meminta diri kerana ada kelas yang perlu beliau hadiri.

Aku pun mengelilingi kawasan Darul Arqam sementara menunggu kedatangan Puan Zawiyah. Aku memeriksa waktu beberapa kali namun Puan Zawiyah masih tidak kelihatan. Lima belas minit kemudian baru nampak Puan Zawiyah menolak pintu utama. Kelihatan kelam-kabut dia berjalan ke arahku.

"Assalamualaikum, Aisyah. Saya benar-benar mintak maaf. Tadi ada traffic jam. Ada kemalangan di kawasan lebuh raya tadi."

Aku menjawab salam Puan Zawiyah dan sekadar tersenyum.

"Tidak mengapa Puan Zawiyah. Saya yang sampai awal sangat. Lagipun traffic jam bukan Puan Zawiyah boleh kawal bukan?"

Puan Zawiyah tertawa. Kemudian dia mengajak aku memasuki biliknya dan selepas itu dia menyiapkan minuman kopi untuk kita berdua. Lima minit kemudian dia masuk ke bilik dengan dua cawan kopi. Bau kopi panas itu sudah dapat membuatkan tekak aku rasa teramat kering.

"Jemput minum."

Aku mengucapkan terima kasih lalu mencapai cawan kopi itu dan menghirup kopi itu. Sedap sungguh rasanya.

"Baiklah Aisyah, jika tidak keberatan, boleh kita mulakan sesi temubual sekarang?"

Aku mengangguk. Dalam kesedapan meminum kopi itu, terlupa pula tujuan datang ke sini.

"Baiklah Aisyah. Ceritakan sedikit tentang apa yang membuatkan Aisyah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam,"Puan Zawiyah berkata dan menandakan sesi temubual telah bermula.

Sebelum mula bercakap, aku menghirup lagi kopi yang ada di atas meja. Lebih baik minum ketika sedang panas bukan?

No comments: