Bhg 20


Hari-hari selepas itu berlalu seperti biasa. Aku kelihatan ceria. Itulah yang aku dengar dari Fatin, pembantu peribadi ku.

"Puan nampak macam orang yang cintanya dibalas!"

Aku tersipu mendengar Fatin berkata begitu lantas menjawab, "Terima kasih Fatin. Memang, mungkin begitulah. Tidak lama lagi saya akan berkahwin."

Fatin kelihatan teruja dengan berita itu. Apabila aku memberitahunya siapa bakal suami ku, dia kelihatan tidak terkejut malah, seperti menahan ketawa.

"Eh, apa yang lucu sangat Fatin?"

Akhirnya, Fatin melepaskan hilaian ketawanya. Buat beberapa saat aku rasa pelik. Selepas itu Fatin berkata, "Bukan apa, Puan Aisyah. Cuma saya geli hati. Memang sudah disangkakan. Dahulu, masa Puan sanggup kejar Encik Rahman sampai ke rumahnya, saya dah agak. Lama-kelamaan pasti ada sesuatu terjadi. Macam ada cahaya cinta tiba-tiba atas kepala Puan!"

Dan selepas itu Fatin sambung ketawa. Aku juga tertawa. Mungkin benar apa yang dikatakan Fatin. Saat aku kejar Ustaz Rahman, mungkin kerana ada cahaya cinta tiba-tiba hadir.

Suasana di pejabat kecoh apabila seluruh kakitangan pejabatku mengetahui berita itu. Hampir kesemua kakitangan mendekatiku untuk mengucapkan tahniah. Ada yang mahu membantuku untuk persiapan majlis kahwin dan ada pula yang cuba memberiku wang sebagai tanda hadiah. Aku menolak keduanya. Aku berniat membuat majlis di rumah sahaja. Maklumlah, cara adat melayu membuat majlis kahwin sendiri, aku tidak tahu.

Ustaz Rahman ada menelefonku untuk berbincang. Namun, aku menyuruhnya untuk tidak lakukan apa-apa dahulu selagi aku belum bertemu dengan orang tua beliau.

Sehari sebelum aku bertemu ibu beliau, Ustaz Rahman menelefonku.

"Assalamualaikum Aisyah. Apa khabar?"

"Waalaikumussalam Ustaz. Khabar saya baik dengan izin Allah. Sibuk sedikit di kerja. Ada projek kajian baru. Kenapa Ustaz telefon?"

"Oh, saya cuma mahu ingatkan Aisyah akan temujanji Aisyah dengan Ummi nanti. Aisyah lupa?" tanya Ustaz Rahman seolah-olah risau.


"Eh,mana ada lupa Ustaz. Saya sampai ambil cuti esok."

"Wah, kalau begitu, Aisyah boleh jumpa Ummi sepanjang hari! Boleh bincang tentang majlis sekali," kata Ustaz Rahman.

"Subhanallah Ustaz. Bawa bersabar. Belum harinya lagi," jawabku, cuba menenangkan Ustaz Rahman. Aku tidak mahu terlalu teruja. Aku takut, kerana kita yang merancang namun Allah yang menentukan.

"Maaflah Aisyah. Cuma saya mahu pastikan Ummi dan Aisyah selesa dengan satu sama lain."

"Insyaallah Ustaz. Kalau ada jodoh takkan kemana. Ustaz,saya benar-benar sibuk. Kita berbual esok sahaja?"

"Eh,maaf-maaf.Baiklah esok saya jumpa Aisyah bawah kolong blok saya ya?"

Aku mengiyakan pesanan Ustaz Rahman dan selepas mengucapkan salam, aku mematikan talian.

Malam itu, aku tidak dapat tidur. Bukan kerana tekanan kerja tetapi sebenarnya aku takut berjumpa dengan orang tua Ustaz Rahman. Aku mahu pastikan orang tua beliau merestui perhubungan kita. Sekurang-kurangnya, jika Mama tidak mahu menerima aku lagi, ada wanita yang sanggup menerimaku seadanya. Menerima seorang wanita yang cetek dalam ilmu agama sebagai menantu dan isteri kepada anaknya.

Jam di meja katil menunjukkan sudah 3 pagi. Aku masih tidak boleh tidur. Lantas aku bangun dari katil dan pergi ke bilik mandi untuk mengambil wudhu' untuk tunaikan solat tahajud. Baru beberapa minggu lalu Ustaz Rahman mengajarku cara-cara solat tahajud. Alhamdulillah, aku cepat menangkap apa yang diajar Ustaz.

Selepas solat, aku menghempaskan diriku ke atas katil tanpa membuka telekung. Aku cuba menutup mata. Tanpa kusedari, mataku terbuka hanya apabila terdengar bunyi jam penggera menandakan sudah pukul 6 pagi dan aku perlu bersolat Subuh.

Selesai solat, aku mengemas rumah hingga jam sepuluh pagi. Itupun, aku berhenti kerana Ustaz Rahman sudah menelefonku. Kelam-kabut aku bersiap. Sekadar blaus bercorak abstrak dan kain labuh sahaja. Kerana malas mahu menunggu teksi, aku menempah teksi untuk datang ke kawasanku.

Sepuluh minit kemudian, aku tiba di kawasan perumahan Ustaz Rahman yang terletak di Bukit Timah. Perasaan gemuruh mula merangkak masuk ketika melihat Ustaz Rahman sedang menunggu aku.

"Lama Ustaz tunggu?"

"Adalah dalam setengah jam," jawab Ustaz Rahman. Aku terkejut dan menunduk malu.

"Eh,saya gurau sahaja. Jom, Ummi sudah lama menunggu."

"Astarfirullahal'azim Ustaz. Saya di sini takut dan gemuruh, Ustaz boleh bergurau lagi. Saya benar-benar fikir saya lamabat sangat."

Ustaz Rahman sekadar tersenyum lalu berjalan menuju lif. Aku mengikutinya dari belakang. Sampai sahaja di hadapan rumah Ustaz Rahman, aku tersenyum sendiri. Teringat kali pertama datang ke rumah dn menyerbu Ustaz Rahman. Bagai orang tidak beradab.

"Assalamualaikum Ummi! "

Kedengaran suara wanita menjawab salam dari dalam rumah. Sudah tentu itulah ibu kepada Ustaz Rahman. Aku sudah bersedia.

Namun, saat wanita itu hadir di pintu berpagar itu, aku tergamam. Perutku rasa seperti di putar belitkan. Tidak sangka wanita itu adalah wanita yang digelar 'Ummi' oleh Ustaz Rahman.

Wanita yang sedang berdiri disebalik pintu berpagar itulah yang berlanggar bahu denganku semalam di Restoran Gurame.

No comments: