No.3


"Dengan ini, aku Nuralyah Irdina Binte Muhammad Faiz mengumumkan kejatuhan Cikgu Nafisah!" umum Irdina di kelas esok harinya. Malam semalam dia sudah mendapat idea bernas. Itupun selepas Hayfa sudah pulang. Irdina sudah merancang sesuatu yang tidak terlalu menyusahkan dan amat klasik. Sebelum kelas Cikgu Nafisah, Irdina sudah terlebih dahulu ke tandas untuk mengisi beg plastik besar dengan air. Dia kemudian memanjat kerusi dan meletakkan beg plastik itu di atas pintu. Air itu juga diberi titisan pewarna makanan.

Dalam hati, Irdina sudah tidak dapat menahan rasa terujanya. Biarlah kalau dia digantung sekolah kerana ini. Dia mahu menikmati tahun akhir di sekolah menengah.

"Dahlah tu Puan Presiden, duduklah. Kejap lagi Cikgu sampai," tegur salah seorang rakan sekelasnya. Apabila mendengar bunyi tapak stiletto menghampiri kelas mereka, semua kelam-kabut duduk. Mereka tahu itu Cikgu Nafisah.

Apabila pintu itu dibuka,splash!

Semua terkejut dan terdiam. Tiada seorang pun bergerak. Begitu juga Irdina. Mulutnya terlopong. Tangannya tiba-tiba menggeletar. Orang yang dibasahi air bewarna-warni itu bukan Cikgu Nafisah.

"Irdina!" pekik seseorang dari luar. Pekikan itu membuatkan semua termasuk Irdina tiba-tiba tersentak. Barulah nampak Cikgu Nafisah yang tidak basah langsung memasuki kelas. Orang yang basah itu masih berdiri di situ dan sedang mengelap cermin matanya.

"Nuralyah Irdina! Mari sini! Saya tak perlu nak siasat. Ini konfem kerja awak kan?" soal Cikgu Nafisah sambil menunding jari ke arah Irdina. Irdina dengan tidak sedar, sekadar mengangguk. Dia masih terlalu terkejut bahawa rancangannya terkena salah orang.

"Saya akan tangani awak selepas ini!" teriak Cikgu Nafisah sebelum mengalihkan pandangannya kepada orang basah itu dan berkata," Cikgu, maafkan saya. Kalau Cikgu mahu ke tandas, pergi dululah. Saya tunggu di kelas."

Suasana di kelas sunyi sepi buat lima minit. Pandangan Cikgu Nafisah tidak lepas dari melihat Iirdina sepanjang masa. Apabila orang itu melangkah masuk kelas  Menengah 5C, Irdina berpeluh.

"Kelas, saya tidak dapat mengajar kamu lagi kerana akan dihantar untuk program khas bagi guru-guru bahasa ibunda. Tapi saya sudah ada pengganti. Kelas, saya mahu perkenalkan awak semua dengan guru baru kamu, Cikgu Muqri Haziq," terang Cikgu Nafisah.

Selepas itu Cikgu Nafisah memandang tepat ke arah Irdina dan berkata," Irdina, ada apa-apa yang awak nak cakap dengan Cikgu Muqri?"

Irdina berdiri. Tangannya masih lagi menggeletar. Mukanya merah padam. Tidak sangka kali ini dia tersalah 'mengajar' guru. Jarang sekali dia meminta maaf dengan seseorang walaupun dengan ibunya sendiri.

"Saya….saya….nak…..mintak,"kata Irdina.

"Minta apa? Duit raya?" sampuk Cikgu Nafisah.

"Cikgu Nafisah, tidak apa. Tidak salah sekali-sekala bermain-main di sekolah," tiba-tiba Cikgu Muqri bersuara. Cikgu Nafisah mengangguk dan keluar dari kelas itu dengan senyap.

"Duduk saja, Irdina," sambungnya. Irdina duduk dan langsung tidak memandang guru lelaki itu. Masih terlalu malu untuk bersua muka.

Sepanjang Cikgu Muqri Haziq mengadakan sesi perkenalan, Irdina diam. Mungkin inilah kali pertama rakan sekelas Irdina dapat menyaksikan kesenyapan Irdina.

"Irdina?Irdina?"

Irdina mengangkat muka. Rupanya sudah tiba gilirannya untuk memperkenalkan dirinya kepada Cikgu Muqri Haziq.
Dengan suara yang penuh syahdu dan kesopanan, Irdina berkata," Nama saya Nuralyah Irdina Binte Muhammad Faiz. Panggil saya Irdina boleh, Alyah pun boleh. Tapi saya lebih selesa Irdina. Saya tak suka belajar. Terima kasih."

Cikgu Muqri kelihatan terkejut.

"Awak tak suka belajar?"

Belum sempat Irdina menjawab, salah seorang rakannya, Syafiq mencelah dan berkata," Alahai, Cikgu Muqri. Irdina ni, tipu je. Dia memang tak suka belajar tapi keputusan dia selalu, agaknya anak perdana menteri pun jealous!

Seluruh kelas Menengah 5C ketawa termasuk Cikgu Muqri.

"Baiklah, ada apa-apa lagi yang awak nak tambah Syafiq?"

Syafiq berkata," Ada Cikgu. Bapak Irdina ni kan, pangkat Tan Sri tau dekat Malaysia. Cikgu jangan main-main!"

Kali ini, seluruh kelas bertepuk tangan namun Cikgu Muqri terkecuali. Wajahnya seperti menunjukkan kekhuatiran. Selang beberapa saat barulah Cikgu Muqri menjawab," Itu tidak bermakna layanan yang saya berikan kepada Irdina akan berbeza."

Irdina berasa lega. Sekurang-kurangnya Cikgu Muqri adil, bisik hati kecilnya. Dia akur, walau berapa banyak kali dia melawan kata dan tidak menghantar kerja rumah, Cikgu Nafisah tidak pernah mengambil tindakan terhadapnya sejak mendapat tahu bapa Irdina seorang Tan Sri.

"Bagus tu Cikgu Muqri. I think you have what it takes to be a teacher!" kata Irdina, tiba-tiba bersuara.

"Terima kasih Irdina. Oleh kerana saya seorang guru yang adil, maka awak akan ditahan selepas sekolah sebagai denda dan tulis ayat yang awak sebut tadi tetapi dalam Bahasa Melayu sebanyak 100 kali. Adil tak?" tanya Cikgu Muqri.

Irdina menepuk dahi. Tiba-tiba rasa rindu yang teramat saat terhadap Cikgu Nafisah.

No comments: