Bhg 8

"Apa perasaan Aisyah apabila pertama kali melihat orang-orang itu solat?" tanya Puan Zawiyah lantas menghentikan aliran ceritaku.

"Puan Zawiyah, pertama kali dalam hidup saya tahu apa itu erti malu. Rasa seperti terdedah dan seperti bogel. Lepas itu saya tidak sempat tunggu Ustaz Rahman, saya lari keluar dari pejabatnya. Saya balik rumah."

Di rumah, aku selubungi diri dengan selimut. Tiba-tiba aku menangis. Menanya diri sendiri apa sebenarnya tujuan hidup.

"Lepas itu?" tanya Puan Zawiyah.

"Lepas itu, saya datang lagi esok harinya. Kali ini, saya lebih tenang. "

Tidak lagi memakai blaus tanpa lengan dan seluar bermuda. Aku mengenakan seluar formal dan blaus berlengan panjang. Lepas itu, aku memakai kot yang selalunya aku pakai untuk musim sejuk ketika di London dahulu.

Sampai di sana, Ustaz Rahman menyambutku. Aku mengucapkan salam. Ustaz Rahman tersenyum dan menjawab salamku.

"Eh,tidak salah sebutan lagi Diane?" usik Ustaz Rahman. Aku sekadar menundukkan kepala. Senyum tersipu-sipu.

"Diane, sejuk sangatkah Darul Arqam ini? Bukan apa, kot yang awak pakai sesuai intuk musim sejuk. Ini bukan Antartica!".

Malu aku apabila Ustaz Rahman bertanya sebegitu. Aku tahu Ustaz Rahman sekadar ingin bergurau. Aku sekadar ketawa paksa. Aku cuba elakkan rasa janggal, maka aku pun bertanya Ustaz, "Ustaz Rahman tidak solat?".

"Pukul 10 pagi mahu solat apa,Diane?"

Aduh,malu lagi. Aku menanya tentang solat sekadar mahu hilangkan rasa janggal. Sekarang ini, rasa lebih janggal pula.

"Diane,elok kita mula sesi pertanyaan sekarang. Pukul sebentar lagi, saya ada kelas yang perlu saya hadiri."

"Eh, Ustaz Rahman. Bukankah Ustaz sudah menjadi Ustaz. Kirakan, Ustaz sudah pandai dalam hal agama bukan?" aku bertanya dengan penuh keraguan.

" Tuntutlah ilmu dari semenjak buaian hingga ke liang lahad. Selagi hayat dikandung badan, saya akan tuntut ilmu walau sejauh mana pun yang saya perlu pergi."

Ustaz Rahman kemudian membawaku ke pejabatnya dan seperti biasa, dia tidak menutup pintu.

Sejak pertama kali lagi aku menjejakkan kaki ke Darul Arqam, tidak pernah aku ketinggalan walau satu hari pun. Setiap hari, aku akan tiba di sana pukul 10 pagi dan bertanya banyak soalan tentang Islam. Aku sendiri tidak pasti apa yang membuatkan aku tertarik dengan Islam. Yang pasti, aku tidak lagi memakai pakaian yang terlalu terdedah, tidak lagi ke kelab malam setiap kali selepas kerja.

"Selang beberapa bulan, saya mula bertanya diri saya sendiri, adakah agama Islam, ketenangan yang saya cari selama ini? Adakah ini agama yang benar? Terlewatkah saya?"

No comments: