Bhg 17


Aku begitu terkejut dengan apa yang Ustaz Rahman katakan sehingga aku dapat merasakan jantungku berhenti berdegup seketika. Rasa seperti tiada lagi darah yang mengalir ke kepala sebab itu aku tidak dapat memproses apa yang Ustaz Rahman katakan tadi.

Aku menegakkan badanku seraya berkata," Ustaz sedar tidak apa yang Ustaz katakan tadi? Saya tidak salah dengar ke?"

Ustaz Rahman menggelengkan kepala lalu menjawab," Tidak Aisyah. Saya tidak salah dan saya sedar apa yang saya katakan tadi. Sudah lama saya cuba mengelakkan perasaan ini. Saya rasa teruja setiap kali ada peluang untuk kita bertemu. Memang,saya tidak patut ada perasaan begini sebagai seorang guru yang mengajar Aisyah."

Aku terdiam. Melihat keadaan aku yang membisu, Ustaz Rahman sambung," Saya tidak pernah mengadili Aisyah berdasarkan masa silam Aisyah. Aisyah yang saya lihat sekarang ini, seorang muslimah yang tidak pernah tinggal solat, yang selalu menundukkan pandangan pabila jalan lalu lelaki-lelaki dan yang pasti, saya lihat ada kesungguhan dalam diri Aisyah untuk benar-benar megetahui tentang Islam. Tidak selalu saya melihat orang yang memeluk Islam atas kehendaknya sendiri."

Aku tersenyum. Terharu akan pujian yang diberi Ustaz Rahman. Namun, apa yang dikatakan Ustaz Rahman sebelum ini amat sirius.

"Ustaz, saya terharu dengan kata-kata itu. Tapi Ustaz, ini perkara sirius. Soal jodoh Ustaz."

Ustaz Rahman mengangguk sambil berkata, " Ya Aisyah. Soal jodoh yang saya semakin pasti akan jawapannya."

Aku bingung. Sejak bila pula Ustaz Rahman mula menaruh perasaan sebegini terhadapku? Melihat aku sekadar berdiam diri dan masih tidak memberi jawapan pasti, Ustaz Rahman menyambung, " Aisyah, secara jujur, saya melihat Aisyah sebagai seorang yang berpotensi menjadi isteri saya sejak Aisyah mengucapkan kalimat syahadah buat pertama kali lagi.   Dan perasaan yang saya alami ini semakin mendalam setiap kali berjumpa dengan Aisyah. Kadangkala saya perlu mengingatkan diri saya bahawa saya berjumpa Aisyah sebagai seorang guru."

Aku sedar Ustaz Rahman tidak lagi bermain-main.

"Tapi Ustaz, jarak umur kita….."

" Salahkah jika enam tahun berbeza? Salahkah Rasulullah s.a.w. memperisiterikan Saidatina Khadijah kerana jarak umur mereka  15 tahun? "

Aku rasa lega mendengar jawapan Ustaz. Aku tidak tahu lagi apa yang aku harus persoalkan Ustaz. Secara jujurnya, aku memang tidak boleh menyangkal tentang perasaan aku terhadap Ustaz Rahman. Beliau seperti contoh suami idaman aku selama ini. Yang boleh mendidik aku dan menambahkan pengetahuan cetek aku tentang Islam. Aku juga tidak boleh  membohongi perasaan aku sendiri. Setiap kali berjumpa Ustaz Rahman, aku juga selalu mengingatkan diriku bahawa aku sekadar seorang murid.

Aku berfikir sejenak. Mungkin sudah tiba masanya untuk aku memikirkan soal jodoh. Umur aku bukannya semakin muda. Aku merenung ke arah potret yang tergantung di dinding. Potret yang mengandungi ayat Quran. Walau masih tergagap-gagap membaca ayat al-Quran, aku pasti itu adalah ayat Kursi. Aku amati ayat itu dan membacanya secara merangkak di dalam hati.

Tiba-tiba, aku dikejutkan dengan labaian tangan Ustaz Rahman dihadapan aku.

"Jauh Aisyah termenung."

Aku tersenyum sambil menghela nafas panjang. Ya,mungkin sudah tiba masanya.

"Baiklah Ustaz, saya setuju."

Ustaz Rahman tersenyum lebar seperti kucing Cheshire.

"Kalau begitu, esok juga saya bawa Aisyah jumpa Ummi, emak saya," sambung Ustaz Rahman. Selepas itu Ustaz Rahman terus ke mejanya dan kelihatan sibuk menghabiskan tugas.

"Itu sahaja?"

Ustaz Rahman kemudian mengalihkan pandangan ke arahku.

"Saya ini perempuan, Ustaz. Tua ke, muda ke, saya hendak juga feeling-feeling lelaki melamar dengan sempurna," aku mengusiknya.

Ustaz Rahman tunduk tersenyum. Dia meletakkan kepingan kertas yang dipegangnya tadi di atas meja lalu menghampiri aku. Jantung aku berdebar lagi. Jarak Ustaz Rahman dekat sekali. Tiba-tiba Ustaz Rahman duduk berlutut.

"Siti Aisyah Binte Abdullah, sudikah awak menjadi bunga yang mengisi hati saya dan bergelar isteri saya, Fadhurrahman Bin Hamid Bashir? Lelaki yang tidak akan melepaskan songkoknya semata-mata untuk mendapatkan kerja?"

"Ustaz! Bergurau pula!". Aku tertawa apabila Ustaz berkata begitu kerana itulah pertama kali aku berjumpa Ustaz Rahman.

"Baiklah Ustaz. Saya terima dan saya sudi."

Mungkin puas dengan jawapan yang aku berikan, Ustaz Rahman lantas berdiri dan kembali ke kerusinya. Aku juga perlu beredar dan selepas mengucapkan salam, aku menuju ke arah pintu.

"Aisyah." Langkahku terhenti lalu aku menoleh.

"Ada apa Ustaz Rahman?"

"Nanti sudah kahwin, takkan awak masih mahu memanggil saya Ustaz?"

Aku tergelak.

"Nanti sudah kahwin, kita fikirkan."

Tanpa menunggu jawapan Ustaz, lekas-lekas aku membuka pintu dan hilangkan diri dari pandangan mata Ustaz Rahman.

Sambil menuruni anak tangga, aku juga terfikir. Benar kata Ustaz Rahman. Selepas kahwin pun aku menggelarnya 'Ustaz' juga kah?


Yang pasti, tidak mungkin aku akan memanggil bakal suami aku sebagai 'Baby'.

3 comments:

SuhaFasihah said...

Alhamdulillah...
sampai plot di sini, Aisyah dipertemukan jodoh dengan ustaz rahman...
semoga sy bertemu jodoh dengan lelaki yg beriman...
tidak perlu sesempurna ustaz rahman,
cukup sekadar beriman...
amin...

Jannah Binte Johari said...

Insyaallah.
AMIN =)

Nisa said...

ROFL for the BABY part!!! Hahahahhaha i kinda imagine you saying that in a very sexy seducing voice! XD