Bhg 21


Kami berdua membisu. Tiada ucapan salam dan tiada tegur sapa. Aku termenung. Tidak sangka bahawa wanita itu adalah Ummi kepada Ustaz Rahman.

"Eh, sudah kenapa ini? Ummi dan Aisyah sudah kenal satu sama lain kah?"

Aku mengangguk dan selepas itu tunduk. Kalau wanita itu berlanggar bahu di Restoran Gurame minggu lalu, bermakna dia tahu aku berjumpa dengan David.

Dengan suara terketar-ketar, aku cuba memberi salam kepadanya. Harap-harap wanita itu tidak mengingatiku. Selepas menjawab salam dia berkata," Jemputlah masuk."

Ustaz Rahman mendahuluiku. Aku berasa segan.

"Anak duduk-duduk lah dahulu. Makcik buat air di dapur. Mahu panaskan teh tadi. Lama makcik tunggu."

"Eh, Ummi. Tidak apa. Biar Fad saja yang siapkan air. Ummi duduklah, bertanya khabar dengan Aisyah," jawab Ustaz Rahman lantas memberikan tempat duduknya kepada ibunya.  Aku semakin seram. Ibunya sekadar mengiyakan kata Ustaz Rahman dan mengambil tempat duduk itu. Mataku tidak lepas dari memerhatikan Ustaz Rahman sehinggalah di hilang ke dapur.

"Fad memang sengaja. Dia kalau buat air, badak pun sudah habis berendam," kata ibu Ustaz. Aku ketawa. Pandai beliau bergurau.

"Makcik…."

"Eh, janganlah ber'makcik-makcik'. Panggil Ummi sahaja."

Aku rasa kekok. Tetapi biarlah begitu. Aku perlu mengambil hatinya. Sementara menunggu Ustaz Rahman membuat air, aku mahu terangkan perkara sebenar kepada Ummi.

"Ummi, saya ada sesuatu hendak beritahu. Saya mahu berterus terang."

"Ada apa? Lekaslah, sebelum badak habis berendam!"

Aku memberi ketawa kecil sebelum menyambung," Ummi, minggu lepas Ummi ada ke Restoran Gurame bukan?"

Selepas itu Ummi menghela nafas panjang.

"Oh, tentang itu. Baik Ummi teka, kamu mahu beritahu Ummi tentang lelaki yang makan bersama kamu?"

Aku mengangguk.

"Jangan risau,anak. Nanti, siapa nama kamu?"

Aku memberitahunya nama islamku dan selepas itu Ummi sambung," Jangan risau Aisyah. Ummi duduk berdekatan dengan kamu kan? Kalau tidak, bagaimana boleh sampai berlanggar bahu. Ummi terdengar apa yang Aisyah bincangkan dengan lelaki itu dan Ummi amat memahami. Yang Ummi mahu, kamu beritahu Fad dan Ummi amat yakin dia juga akan memahami."

Saat itu, aku seperti mahu menangis. Aku tidak tahu mengapa teringatkan Mama dan Daddy. Aku tidak sangka orang-orang yang tidak aku kenal seperti Ummi dan David amat memahami situasi aku. Sedangkan Mama dan Daddy yang ada ikatan pertalian langsung tidak memberiku peluang. Aku berdoa dalam hati, semoga Allah memberi hidayah kepada orang tua ku.

"Ummi juga mahu, kamu berilah Fad kebahagiaan. Ya lah, sejak kehilangan ayahnya pada usia 7 tahun, hatinya seperti kosong. Ummi hanya mampu mengisi sesetengah kebahagiaan itu. Ummi berharap sangat lagi setengah itu, kamulah jadi pengisinya. Boleh?"

Aku mengangguk. Tentu sekali aku akan memberikan sepenuhnya kepada lelaki yang telah memberikan aku ketenangan hidup.

"Lagi satu, Aisyah. Umur kamu berapa?"

Soalan itu tiba-tiba menyentap jantungku. Adakah Ummi akan merubah fikiran jika mendapat tahu aku 6 tahun lebih tua dari Ustaz Rahman?

Dengan tergugup-gugup aku menjawab," 34 tahun, Ummi."

"Oh, bagus jugalah. Ada orang yang matang untuk menjaga Fad."

Sekali lagi jawapan Ummi memeranjatkan aku. Beruntung benar Ustaz Rahman mempunyai ibu seperti ini. Dan sekali lagi juga aku teringatkan Mama dan Daddy dan aku memanjatkan doa dalam hati supaya Mama dan Daddy dapat menerima petunjuk dan hidayah Allah.

"Tetapi, lepas kahwin, cepat-cepat beri Ummi cucu! Ummi kalau masih muda macam Datuk Siti Nurhaliza tidak apa!"

Aku tertawa. Ummi benar-benar pandai bergurau. Selepas penat ketawa, akhirnya Ustaz Rahman keluar dari dapur membawa dulang berserta tiga cawan kopi, minuman kegemaranku.

"Apa yang Ummi dan Aisyah bincangkan?" tanya Ustaz Rahman. Ummi memberikanku pandangan sambil tersenyum.

"Tidak apa Ustaz. Betul kata Ummi, Ustaz buat air, badak pun sudah habis berendam," jawabku sambil menolongnya menghulurkan cawan kepada Ummi. Ummi tertawa.

"Fad, kalau boleh Ummi mahu kamu berdua cepat-cepat bernikah. Tidak perlu lah sanding-menyanding. Kasihan Aisyah. Lagipun, Ummi sudah bersedia benar untuk menerima menantu. Apa kata sebulan dari sekarang?"

"Fad tidak cerewet Ummi. Fad pun tidak suka bersanding. Biarlah kita lakukan apa yang wajib dalam Islam. Nikah di pejabat kadi, selepas itu, buatlah kenduri kecil-kecilan.  Saudara-mara kita bukannya beribu-ribu orang. Apapun, Aisyah juga berhak untuk pelan. Bagaimana Aisyah?"

"Saya tidak kisah, Ustaz. Buatlah sekadar yang wajib sahaja," jawabku seraya mengalihkan pandanganku dari Ummi kepada Ustaz Rahman sambil tersenyum. Belum pun berkahwin, aku sudah rasa selesa dengan keluarga dua beranak ini.  Biarlah, mereka menjadi pengganti Mama dan Daddy yang sehingga sekarang tidak menghubungi aku langsung. Biarlah, buat masa ini, Ummi dan Ustaz Rahman menjadi sebab disebalik senyumanku ini. Dan aku berharap selepas ini juga senyuman tidak akan sembunyi lagi dari wajahku.

Tiba-tiba, Ummi berkata,"Aisyah, kamu masih panggil bakal suami kamu Ustaz?"

Aku dan Ustaz Rahman tiba-tiba terdiam. Kami memandang satu sama lain. Tiba-tiba suasana hening. Keheningan itu dipecahkan dengan ketawa Ummi.

"Nanti lepas kahwin kamu mahu panggil suami kamu apa?"

2 comments:

Nisa said...

Meh aku tolong! Panggil darling~ Honey~ Kuchi muchi~ wait. macam kucinglah pulak.... hahahahhaha!

Jannah Binte Johari said...

You know me well,Hua.
Ape agaknye?